About Me

My photo
just because i fancy writing; just because i need my space; just because i want to share ...

Sunday, March 8, 2020

DOA UNTUK GURU

PERKONGSIAN DOA UNTUK GURU UNTUK HARI GURU 2019, KHALIFAH MODEL SCHOOL 

(bacaan Bro Aimar) 


Ya! Allah, ya Tuhan kami, segala puji dan syukur hanya untukMu di atas segala rahmat dan nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami sempena sambutan Hari Guru kali ini.

Ya! Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun,

Dengan penuh rasa rendah diri kami menadah tangan bermohon keampunan dan rahmat dari sisiMu.

Sesungguhnya kami hanyalah hambaMu yang lemah.

Maka ampunilah segala kesalahan yang telah kami lakukan sama ada yang disedari atau tidak disedari.

Kurniakan taufiq dan hidayah kepada kami dan guru-guru kami supaya jalan hidup kami sentiasa diberi petunjuk olehMu di dunia dan mendapat ganjaran setimpal di akhirat kelak.



Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat,

Dengarkanlan harapan dan pengaduan kami ini.

Mustajabkanlah permohonan kami agar Engkau mengurniakan kesejahteraan dan kesihatan kepada guru-guru kami yang menjadi payung kepada generasi akan datang.

Semoga Engkau mengurniakan kekuatan kepada diri mereka untuk terus menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam memainkan peranan bagi memartabatkan pendidikan generasi kami berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.



Ya Allah, Ya Karim,

Jadikanlah guru-guru kami mempunyai darjat yang tinggi serta hiasilah mereka dengan kebijaksanaan, binakanlah benteng ketakwaan dan keimanan yang teguh kepada mereka.

Hindarilah mereka daripada perkara yang memudaratkan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.



Ya Allah, Ya Aziz Ya Ghaffar,

Anugerahkanlah segala kemudahan kepada para guru kami agar mereka senantiasa mendapat kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Berkatilah usaha dan sumbangan kebaikan mereka di dunia ini.

Berikanlah kekuatan kepada mereka untuk mencapai kejayaan dan kemajuan diri dalam mendidik anak bangsa ibu pertiwi.

Anugerahkanlah kepada mereka kualiti kehidupan yang lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Tinggikanlah darjat mereka di sisiMu, sucikanlah hati mereka dengan keikhlasan berbakti untuk agama, bangsa dan negara.

Ya Allah ,Ya Latif, Ya Halim,
Sesungguhnya tugas sebagai guru adalah tugas yang mulia dan murni sepanjang zaman , justeru itu kurniakanlah kepada guru-guru kami hati yang ikhlas dalam menyempurnakan tanggungjawab yang berat ini dengan sebaiknya . Lorongkanlah hati guru-guru kami agar menjadikan seluruh aktriviti dunia pendidikan sebagai ibadah mengharapkan rahmat dan keredhaan-Mu semata-mata .

Ya Allah, Ya Fattah, Ya Razak,
Berkatilah jua usaha-usaha para guru. Satukanlah hati-hati mereka, eratkanlah silatur Rahimi di kalangan mereka. Padukanlah tenaga dan usaha mereka untuk menggempur anjakan sikap dan pemikiran bagi menghadapi era teknologi dan globalisasi. Kurniakanlah apa kiranya kepada mereka kekuatan rohani dan jasmani, cetusan idea dan gerakan minda, untuk terus menjana kecemerlangan pendidikan, di alam persada.

Ya Allah , Ya Robbi,
Kami hulurkan tangan pengharapan , memohon ihsan dan pimpinan-Mu agar Engkau anugerahkan rasa kasih sayang kepada barisan pendidik yang budiman terhadap anak-anak didik mereka , sebagaimana mereka mengasihi dan menyayangi anak- anak mereka sendiri , kurniakanlah kepada mereka kesabaran , ketabahan , semangat kerjasama yang tinggi dalam sebuah pasukan , semangat permuafakatan dan semangat juang yang tidak mengenal erti putus asa dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik dan berusaha menyumbang tenaga , idea dan kepakaran demi meningkatkan kualiti akademik dan ko-kurikulum pelajar-pelajar sekolah.

Jadikanlah kami Ya Allah, dari kalangan hamba-hamba Mu yang bersyukur dan taat melaksanakan perintah Mu. Jauhilah kami Ya Allah, dari melanggari perintah Mu. Kurniakanlah apa kiranya Ya Allah kepada kami, rezeki yang halal dan berpanjangan, zuriat dan generasi yang beriman, serta segala kebaikan di dunia, pun jua di akhirat.

Amin..Amin..Amin Ya ALLAH

No comments:

Post a Comment